Sejarah Sekolah



Sekolah Rendah Kebangsaan Haji Mohd Shariff  pada asalnya bermula dengan nama Sekolah Inggeris Alor Setar. Pada 6 Januari 1968,  bangunannya terletak di Bekas Latihan Pusat Harian (DTC) dalam kawasan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star.
          Guru Besar yang pertama ialah Encik Ariffin bin Ibrahim. Pada mulanya hanya terdapat 8 kelas Standard 1 dengan jumlah murid seramai 400 orang dan 12 orang guru. Hal ini disebabkan kegagalan murid-murid ini mendaftar masuk ke Sekolah Inggeris Sultanah Asma, Sekolah Rendah Iskandar, Sekolah Rendah St. Nicholas Convent dan Sekolah Tunku Abdul Halim. Pada tahun 1969, terdapat 9 kelas Standard 1 dan 8 kelas Standard 2.
          Pada tahun 1970 pula hanya terdapat 6 kelas Standard 1 dan sebahagian daripada mata pelajaran yang diajar dalam Bahasa Malaysia. Ketika itu, Sekolah Inggeris Alor Setar  menumpang beberapa bilik di Kolej Sultan Abdul Hamid pada sebelah petang. Pada tahun 1971, terdapat 6 buah kelas Darjah 1 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kelas. Akhirnya, Sekolah Inggeris Alor Setar berpindah ke tapak Kompleks Pendidikan Alor Malai pada 1 Januari 1972.
          Atas inisiatif Guru Besarnya Encik Ariffin bin Ibrahim memikirkan agar nama bekas Menteri Besar (yang pertama dilantik) Haji Mohd Shariff bin Othman dapat diganti kepada Sekolah Inggeris Alor Setar. Setelah mendapat persetujuan Lembaga Pengurus dimajukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Shuib bin Othman yang kebetulan adik kepada bekas Menteri Besar.

          Pihak kerajaan negeri Kedah memberi persetujuan, maka pemakluman dihantar kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan dalam bulan Jun 1972, diisytiharkan Sekolah Inggeris Alor Setar diubah nama kepada Sekolah Rendah Haji Mohd Shariff. Encik Ariffin bin Ibrahim menjadi Guru Besar yang pertama.